Friday, 4 September 2015

PROGRAM IBADAH KORBAN 1436 HIJRAH

Masjid Bulatan, in syaa Allah akan melaksanakan ibadah korban bagi tahun 1436 Hijrah pada tanggal 10 Dzulhijah 1436 Hijrah bersamaan dengan 24 September 2015, bermula selepas solat sunat Aidil Adha.


1. Kos hewan korban :

1.1. Satu bahagian lembu : RM 700.00
1.2. Kos 1 ekor lembu : RM 4,900.00
1.3. Kos 1 ekor kambing : RM 900.00


2. Tarikh Tutup Penyertaan :

Borang-borang permohonan untuk menyertai ibadah korban boleh diperolehi dari Pejabat Masjid Bulatan. Borang-borang yang telah diisi berserta dengan pembayarannya hendaklah sampai kepada Setiausaha Masjid Bulatan sebelum 18.09.15.


3. Tempat :

Hewan korban akan disembelih di Balai Sembelih di kawasan Masjid Bulatan. Peserta-peserta ibadah korban disarankan melihat penyembelihan hewan korban masing-masing mengikut giliran yang telah ditentukan melalui penghantaran borang penyertaan.


4. Agihan Daging Korban :

4.1. Agihan kepada peserta : Agihan untuk 1 bahagian lembu ialah sebanyak 5 kg daging, 2 kg tulang serangka dan 1 kg organ dalaman akan disampaikan sebaik-baik sahaja hewan korban berkenaan selesai disembelih dan dilapah
4.2. Agihan untuk orang ramai adalah bermula selepas solat Zohor iaitu sekitar jam 2 ptg. Agihan adalah melalui kupon yang akan diedar kepada ahli kariah satu atau dua hari sebelum ibadah korban.

IBADAH KORBAN TAHUN 1435 HIJRAH


Hewan korban sedang dipersiapkan untuk disembelih




Proses mengulit hewan korban


Proses melapah hewan korban


Penyerahan bahagian daging korban kepada peserta ibadah korban


Pengagihan daging korban kepada orang ramai




Tuesday, 21 July 2015

LAPORAN PROGRAM IHYA RAMADAN 1436 HIJRAH

1. Program Ihya Ramadan 1436 Hijrah bermula pada tanggal 16 Jun 2015 bersamaan dengan malam 1 Ramadan 1436 Hijrah. Aktiviti pertama pada malam itu ialah solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat dan diikuti dengan solat sunat witir 3 rakaat. Solat sunat tarawih diimamkan secara bergilir oleh 3 orang imam Masjid Bulatan iaitu Tn Hj Abdullah bin Ahmad, Tn Hj Sulaiman bin Naim dan Tn Hj Abd Rahman bin Jaffar. Mereka digilirkan setiap 3 malam. Sementara itu bilal pula dilantik seramai 4 orang juga digilirkan setiap 3 malam. Mereka ialah Tn Hj Kamdi bin Kamil, Pengerusi Masjid Bulatan, Tn Hj Badarudin, Bendahari Masjid Bulatan, Tn Hj Jaffar bin Sitam, Bilal Masjid Bulatan dan En Samad bin Ngadunon, Bilal Masjid Bulatan.

2. Selepas solat tarawih dilaksanakan tadarus al-Quran. Sebanyak 5 kumpulan dibentuk dengan setiap kumpulan mengandongi antara 5 hingga 6 orang jemaah dan setiap kumpulan dipimpin oleh setiap orang Imam, 2 orang Bilal dan Tn Hj Adip bin Kamari, Pengerusi Biro Pendidikan Dan Dakwah.

3. Selesai tadarus al-Quran sekitar jam 10.45 malam peserta tadarus dihidangkan dengan juadah panas yang dipesan melalui Tn Hj Abd Rahman bin Jaffar, Penolong Imam Masjid Bulatan dengan kos RM 150 semalam

4. Pada siang hari bulan Ramadan dimasak bubur lambok sebanyak 2 periuk selama 20 hari dan diedarkan kepada orang ramai selepas solat Zohor

5. Pada waktu menjelang berbuka puasa dihidang juadah dan minuman berbuka puasa. Sekitar 40 orang jemaah lelaki dan sekitar 8 orang jemaah wanita berbuka puasa setiap hari. Juadah dibawa oleh para jemaah, ada pula yang menyumbang wang atau kuih muih sementara Noja menyediakan minuman

6. Pada tanggal 11 Julai bersamaan 24 Ramadan selepas solat Asar dilaksanakan Program Penyampaian Bantuan Kepada Fakir Miskin seramai 18 orang. Selain daripada pihak Masjid Bulatan beberapa orang dermawan turut menyampaikan sumbangan bantuan mereka iaitu YBhg Tn Hj Mohd Johar bin Arif, En Zainal bin Abd Rahim, Pengurus General Security Guard, Jalan Dermawan dan YBhg Dato Abd Jalil bin Long menyumbang barang-barang seperti kicap, sos tomato, sos cili, air berperisa dan beras. Seorang fakir miskin menerima bantuan sekitar RM 730 hingga RM 850.

7. Pada malam 10 Ramadan terakhir diadakan program qiyamullail dan pihak Pengurusan Masjid Bulatan menyediakan makanan sahur pada kos RM 300 sepagi bagi malam-malam ganjil iaitu 21, 23, 25 dan 27 Ramnadan.

8. Jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai dan para jemaah ialah RM 34,238 sementara itu jumlah perbelanjaan untuk menjayakan Program Ihya Ramadan ialah RM 25,322.



Kelihatan dalam gambar kaum wanita yang melaksanakan solat sunat tarawih. Gambar diambil pada minggu ketiga bulan Ramadan dan mereka masih ramai memenuhi ruang solat yang disediakan untuk mereka.


Ini pula pandanagn dari saf kaum lelaki juga diambil pada minggu ketiga bulan Ramadan. Kaum lelaki hanya penuh saf-saf tersebut ketika 8 rakaat pertama dan kemudian susut sehingga tinggal 3 saf sahaja

Selepas solat sunat tarawih kaum lelaki bertadarus al-Quran. Sebanyak 5 kumpulan dengan setiap kumpulan antara 5 hingga 6 orang jemaah bertadarus sehingga malam 24 Ramadan.

Selepas tadarus al-Quran para peserta dijamu dengan hidangan panas yang dipesan melalui Tn Hj Abd Rahman bin Jaffar dengan kos RM 150 semalam.

Setiap pagi selama 20 hari dalam bulan Ramadan kaum wanita menyediakan bahan-bahan memasak bubur lambok

Selepas solat tarawih para hdirin berpeluang menjamu selera daripada juadah berbuka puasa sambil membasahkan tekak dengan air teh panas yang disediakan oleh Noja

Setiap pagi selama 20 hari pasukan bertugas memasak dan mengedar bubur lambok akan memasak dua buah periuk yang kemudiannya apabila dibungkus menghasil 400 bungkusan

Bubur lambok yang telah dibungkus akan dieadarkan kepada para jemaah dan orang ramai selepas solat Zohor

Para jemaah sedang menunggu waktu berbuka puasa. Sekitar 40 orang jemaah lelaki berbuka puasa di Masjid Bulatan sepanjang bulan Ramadan

Ini pula sebahagian daripada jemaah wanita yang sekitar antara 5 hingga 8 oranbg berbujka puasa di Masjid Bulatan

Selepas qiyamullail para jemaah dijamu dengan juadah makan sahur. Juadah makan sahur dipesan melalui Tn Hj Abd Rahman bin Jaffar dengan kos RM 300 sepagi selama 4 pagi malam-malam ganjil terakhir bulan Ramadan

 Pn Hjh Hanim bt Kamsan dengan anaknya Pn Hjh Nora sedang makan sahur

Pada tanggal 11.07.15 selepas solat Asar Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Fakir Miskin seramai 18 orang dilaksabnakan. Kelihatan Tn Hj Kamdi, Pengerusi Masjid Bulatan sedang menyampaian sumbangan tersebut.

Tn Hj Mohd Johar bin Hj Arif turut menyampaikan bantuan kepada fakir miskin. Kelihatan dalam gambar isterui beliau iaitu Pn Hjh Zuraidah sedang menyampaikan sumbangan bagi pihak suaminya.

Zakat fitrah di Masjid Bulatan boleh dibayar kepada Bilal Hj Jaffar bin Sitam selaku Amil yang telah ditauliahkan. Kelihatan Tn Imam Hj Abdullah sedang melaksanakan tanggongjawabnya.

Pada tanggal 10.07.15 iaitu selepas solat Jumaat pihak Pengurusan Masjid Bulatan mengedarkan sebanyak 500 kotak kurma kepada para jemaah kerana bersyukur di atas limpah rahmat Allah s.w.t kepada Masjid Bulatan sepanjang bulan Ramadan 1436 Hijrah ini.

Sunday, 7 June 2015

PROGRAM IHYA RAMADAN 1436 HIJRAH

TARIKH : Program Ihya Ramadan bermula pada 17 Jun 2015 bersamaan dengan malam 1 Ramadan 1436 Hijrah, hari Rabu malam Khamis sehingga 16 Julai 2015, hari Khamis.

PROGRAM DAN AKTIVITI :

1. 17.06.15 - 15.07.15 : Solat Tarawih dipimpin oleh Tn Imam Hj Abdullah bin Ahmad, Tuan Imam Hj Sulaiman bin Naim dan Tuan Imam Hj Abd Rahman bin Jaffar. Sementara itu Tn Hj Kamdi bin Kamil, Pengerusi Masjid Bulatan, Tn Hj Badarudin bin Alang Ismail, Bendahari Masjid Bulatan, En Samad bin Ngadunon dan Tn Hj Jaffar bin Sitam bertindak bergilir-gilir sebagai Bilal.

2. 17.06.15 - 10.07.15 : Tadarus al Quran. Ada 5 kumpulan tadarus dengan setiap kumpulan sekitar 5 hingga 6 orang ahli. Orang ramai dijemput menyertai mana-mana kumpulan tadarus. Program tadarus dijalankan selepas solat tarawih.

3. 17.06.15 - 10.07.15 : Moreh selepas tadarus al Quran bermenukan makanan panas: sup cecah dengan roti, mee hailam, mee goreng, soto dan sup sayur

4. 18.06.15 -16.07.15 : Pembayaran zakat fitrah di Masjid Bulatan. Zakat fitrah adalah RM 8 untuk mereka yang makan beras 5% hancur dan RM 5 bagi mereka makan beras 15% hancur. Amil ialah Tuan Bilal Hj Jaffar bin Sitam

5. 18.06.15 - 10.07.15 : Memasak dan mengedar bubur lambok. Bubur lambok sebanyak 2 periuk dimasak setiap hari selama 23 hari. Orang ramai boleh mengambil bubur lambok di Masjid Bulatan selepas solat Zohor.

6. 18.06.15 - 16.07.15 : Berbuka puasa. Masjid Bulatan menyediakan juadah dan minumam untuk berbuka puasa, namun para jemaah dialu-alukan untuk membawa sama juadah berbuka puasa.

7. 08.07.15 - 14.07.15 : Qiyamullail dan bersahur : Qiyamullail dilaksanakan 10 malam terakhir dan sahur disediakan setiap malam ganjil.

8. 11.07.15 : Penyampaian Sumbangan Bantuan Kepada Fakir Miskin : Majlis penyampaian sumbangan bantuan kepada fakir miskin akan diadakan pada hari Sabtu selepas solat Asar. Ada sekitar 21 orang fakir miskin dengan 7 orang tanggongan di kariah Masjid Bulatan.

9. 11.07.15 : Khatam al Quran Program Tadarus : Majlis khatam al Quran program tadarus al Quran akan diadakan selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Kepada Fakir Miskin, diikuti dengan majlis berbuka puasa dan makan malam selepas solat Magrib.

10. 17.07.15 : Solat Hari Raya Aidil Fitri pada jam 8.30 pagi.

Orang ramai dijemput hadir dan menyertai program-program yang telah dirancangkan. Sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan bolehlah disampaikan kepada Tn Hj Kamdi bin Kamil, Pengerusi Masjid Bulatan atau kepada Tn Hj A.Hamid bin Abu Hassan , Setiausaha Masjid Bulatan atau mana-mana AJK Masjid Bulatan.


Solat Tarawih

Tadarus Al Quran

Barang-barang untuk disumbang kepada fakir miskin sedang dipek

Pembayaran Zakat Fitrah

Penyampaian sumbangan bantuan kepada fakir miskin disempurnakan oleh Tn Hj Kamdi bin Kamil, Pengerusi Masjid Bulatan

Program khatam al Quran aktiviti tadarus

Bubur lambok diedarkan kepada orang ramai selepas solat Zohor

Kaum wanita sedang menghiris bahan-bahan memasak bubur lambok

Para jemaah sedang menunggu waktu berbuka puasa

Beberapa orang jemaah wanita sedang menunggu waktu berbuka puasa

Kaum wanita sedang khatam tadarus al Quran

Tn Hj Badarudin dan Tuan Imam Hj Abdullah sedang menikmati juadah moreh selepas tadarus al Quran

Sebahgian daripada jemaah lelaki bersahur selepas aktiviti qiyamullail

Sebahgian daripada jemaah wanita sedang menikmati juadah makan malam sempena majlis penyampaian sumbangan bantuan kepada fakir miskin




LAPORAN SAMBUTAN MALAM NISFU SYAABAN 1436 HIJRAH

TARIKH : 1 Jun 2014 bersamaan 14 Syaaban 1436 Hijrah

Masa : Selepas solat Magrib, membaca surah Yaasiin sebanyak 3 kali dan doa. Bacaan sekali diniatkan agar Allah s.w.t lanjutkan usia di dalam kebajikan. Bacaan kali kedua diniatkan agar Allah s.w.t tetapkan iman dan supaya mati dalam keadaan beriman yang sempurna. Bacaan kali ketiga diniatkan agar Allah s.w.t murahkan rezeki yang halal. Bacaan surah Yaasiin dan doa dipimpin oleh Tuan Bilal En Samad bin Ngadunon kerana ketiga-tiga Imam Masjid Bulatan tidak menghadirikan diri mereka. Selepas solat Isyak jamuan diedarkan bermenukan nasi putih, ikan selar masak asam pedas, ikan caru bakar bersumbat kelapa, sambal goreng, sambal belacan, ulam dan ikan kering dengan kos RM 1,440 dibiayai melalui Tabong Pengurusan dan Kebajikan Masjid Bulatan.

PENYERTAAN : Sekitar 90 orang jemaah lelaki dan sekitar 60 orang jemaah wanita hadir dituruti serta juga dengan sekitar 20 orang kanak-kanak

Tuan Bilal En Samad bin Ngadunon memimpin bacaan Surah Yaasiin dan doa

Sebahagian daripada jemaah lelaki sedang membaca Surah Yaasiin. Kelihatan sama Tn Hj Kamdi bin Kamil, Pengerusi Masjid Bulatan

Kelihatan sebahagian daripada jemaah wanita sedang membaca Surah Yaasiin dan sebelum itu mereka meniatkan hajat mereka

Sebahagian daripada jemaah wanita yang menjamu selera mereka di serambi menghala ke Jalan Satu

Sebahagian daripada jemaah lelaki sedang menjamu selera mereka di serambi menghala ke Jalan Saudara

Setelah selesai jamuan beberapa orang jemaah mencuci peralatan jamuan, kelihatan En Saparudin dan En Ismail dibantu oleh seorang kanak-kanak mencuci peralatan jamuan.

LAPORAN MAJLIS TAHLIL PERDANA 1436 HIJRAH

TARIKH : 30 Mei 2015 bersamaan 12 Syaaban 1436 Hijrah, hari Sabtu

MASA : 7.30 mlm - membaca nama-nama arwah, bacaan Surah Yaasiin, tahlil dan doa

PENYERTAAN : 138 ahli waris menyertai Majlis Tahlil Perdana dengan menghantar 839 nama arwah dan menyumbang RM 11,280.  Jumlah ini berkurangan sebanyak 15% berbanding dengan tahun 2014/1435 Hijrah iaitu RM 13,000. Sementara itu perbelanjaan majlis tahlil perdana ialah RM 3,953 dan dengan yang demikian berbaki sebanyajk RM 7,327. Dan jumlah ini juga merosot jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya iaitu RM 9,979.

JAMUAN : Jamuan nasi putih berlaukkan ikan merah masak asam pedas, ikan caru goreng kicap, sambal goreng, ikan kering, sambal belacan, cukup untuk seramai 250 orang tetamu yang hadir. Sementara itu para ahli waris dibekalkan dengan sepeket dua nasi ambeng untuk dibawa pulang. Majlis tamat sekitar 10.00 mlm.

Sebahagian daripada jemaah wanita sedang mendengar nama-nama ahli waris mereka dibacakan

Tn Hj Mohd Noor bin Sulaiman sedang membacakan nama-nama arwah lelaki.






Thursday, 21 May 2015

CERAMAH BULANAN SIRI 4/15 - KULIAH SUBUH

TARIKH : 31 MEI 2015, HARI AHAD
MASA : SELEPAS SOLAT SUBUH
TEMPAT : SURAU JUMAAT BULATAN
PENCERAMAH : AL FADHIL DR MOHD ALI BIN SARIPAN AL HAFIZ, KONSULTAN SYARIKAT HASANAH AL DARAIN, SHAH ALAM, SELANGOR
TAJUK CERAMAH : SIRAH RASULULLAH S.A.W

Kaum muslimin dan muslimat dijemput hadir untuk mendengar ceramah bulanan siri 4/15 ini. Al Fadhil Dr Mohd Ali al Hafiz memang tidak asing dengan para jemaah Surau Jumaat Bulatan kerana beliau telah beberapa kali memberi ceramah termasuklah ceramah Maulidur Rasul pada tahun 2011 (1432 Hijrah). Dan kali terakhir Al Fadhil Dr Mohd Ali al Hafiz memberi ceramah di Surau Jumaat Bulatan ialah pada tanggal 23 November 2014 selepas solat Subuh.


Al Fadhil Dr Mohd Ali bin Saripan al Hafiz memberi ceramah bulanan siri 8/14 pada tanggal 23.11.14 selepas solat Subuh

Sebahgian daripada jemaah wanita mendengar ceramah bulanan siri 8/14 yang disampaikan oleh Al Fadhil Dr Mohd Ali al Hafiz

Selesai sahaja ceramah yang disampaikan oleh Al Fadhil Dr Mohd Ali al Hafiz iaitu sekitar jam 7.30 pagi para jemaah berselawat

Para jemaah sedang menikmati sarapan pagi bersama-sama dengan Al Fadhil Dr Mohd Ali al Hafiz

Al Fadhil Dr Mohd Ali al Hafiz sedang menyampaikan ceramah perdana bersempena dengan sambutan Majlis Maulidur Rasul 1432 Hijrah di Surau Jumaat Bulatan

Monday, 18 May 2015

LAPORAN KHATAM AL QURAN

Majlis khatam al-Quran dalam Program Budaya al-Quran telah dilaksanakan pada tanggal 18 Mei 2015 bersamaan dengan 29 Rejab 1436 Hijrah. Program Budaya Al-Quran bermula sejak Kerajaan Negeri Johor mengarahkan semua Pejabat-pejabat Kerajaan Johor  melaksanakan Program Budaya Al-Quran. Malah Program Budaya Al-Quran tidak hanya terlibat di surau-surau mahu pun di masjid-masjid tetapi juga menyeluruh ke Jabatan-jabatan Persekutuan dan sekolah-sekolah.

Di Surau Jumaat Bulatan Program Budaya Al-Quran telah beberapa kali menyempurnkan pusingannya iatu khatam. Sekitar bulan Ogos 2009 setelah khatam pada bulan sebelumnya dimulakan pusingan seterusnya. Ketika itu aktiviti budaya al-quran dipimpin oleh Tn Imam Hj Abdullah bin Ahmad, Imam Surau Bulatan sementara itu terjemahannya dibaca oleh Tn Hj Jaffar bin Sitam, Bilal Surau Bulatan dan Tn Hj A.Hamid bin Abu Hassan, Setiausaha Surau Bulatan. Tn Imam Hj Abdullah akan membaca sepotong ayat kemudian diterjemahkan oleh Tn Bilal atau Tn Setiausaha. Beliau juga akan menerangkan hukum-hukum tajwid. Aktiviti budaya al-quran itu diadakan setiap pagi Jumaat selepas solat Subuh, lazimnya sekali aktiviti itu dibaca sekitar dua muka surat.

Ketika Kerajaan Negeri Johor mengumumkan pada tahun 2014 cuti mingguan di Negeri Johor ialah pada hari Jumaat, maka berpeluanglah Tn Hj Kamdi bin Kamil, Pengerusi Surau Jumaat Bulatan bersama-sama dalam aktiviti budaya al-quran. Beliau telah menambah satu aktiviti lain iaitu berzikir dan berselawat sebelum membaca al-quran dan dengan itu hanya sekitar satu muka surat kitab al-quran dapat dibacakan dan diterjemahkan.

Maka pada tanggal 8 Mei 2015 pada pagi Jumaat itu setelah hampir enam tahun, pusingan tersebut selesai (khatam). Pada tanggal 18 Mei 2015, hari Isnin selepas solat Magrib diadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi pusingan yang bermula pada bulan Ogos 2009. Program Khatam Al-Quran dianjurkan oleh Biro HELWA Surau Jumaat Bulatan bersama-sama dengan Biro Kebajikan, Sosial Dan Kebudayaan dan Biro Pengimarahan Surau. Majlis khatam al-quran dipimpin oleh Tuan Imam Hj Sulaiman bin Naim, Timbalan Imam Surau Jumaat Bulatan.


Kelihatan dalam gambar Tn Hj Sulaiman sedang memimpin Majlis Khatam Al-Quran

Kelihatan sebahgian daripada jemaah lelaki di dalam Majlis Khatam Al-Quran

Inilah sebahgian daripada sekitar 40 orang jemaah wanita yang turut serta dalam Majlis Khatam Al-Quran, perhatikan juga deretan pasu bunga pahar yang kemudiannya akan diagihkan kepada para hadirin

Kelihatan Tn Hj Adip sedang membawa sepasu bunga pahar untuk diagihkan kepada para hadirin

Para jemaah lelaki sedang menjamu selera mereka dengan juadah ubi rebus yang disediakan oleh Biro HELWA Surau Bulatan

Gambar di atas memperlihatkan jemaah wanita yang hadir dalam Majlis Khatam Al-Quran sedang menjamu selera mereka